Vandalisme Terhadap Papan Tanda Jalan

Papan tanda bertujuan memberi panduan atau maklumat kepada pemandu kenderaan jalan. Penempatan sesuatu papan tanda mestilah mudah dilihat, mudah di fahami, ringkas dan saiz huruf yang sesuai dan simbol yang jelas dan seragam. Setiap papan tanda mempunyai arahan dan tujuan tertentu dan dapat diklasifikasikan kepada beberapa bahagian iaitu papan tanda mandotari, papan tanda larangan, tanda amaran dan papan tanda maklumat. Terdapat beberapa jenis papan tanda yang digunakan namun penggunaannya bergantung kepada kesesuaian panduan atau arahan yang ingin disampaikan.

Papan tanda jalan yang disediakan pihak berkuasa bertujuan untuk memudahkan pengguna jalan raya mengetahui arah destinasi yang ingin dituju. Papan tanda arah yang rosak akan menyukarkan seseorang untuk sampai ke destinasi yang ingin ditujui. Selain itu, keadaan ini akan menyakitkan mata memandang.

Kejadian vandalisme akan menyebabkan papan tanda tersebut rosak dan perlu diperbaiki mahupun diganti. Kebanyakan individu yang melakukan vandalisme hanya untuk melepaskan geram dan sesetengahnya untuk memenuhi kepuasan hati. Iklan-iklan yang di tampal di papan tanda arah juga mengganggu penglihatan terhada papan tanda arah tersebut. Dianggarkan kos yang diperlukan untuk menukar kesemua papan tanda yang rosak bakal menelan belanja sehingga puluhan ribu ringgit.

Islam sendiri menghalang dan menegah perbuatan vandalisme yang boleh dikategorikan sebagai perbuatan fasad (kerosakan) seperti mana yang ditegaskan di dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya”. (Al Baqarah: ayat 11-12)

Program dan dialog perlu dianjurkan bagi mendidik orang ramai menghargai papan tanda arah dan kemudahan awam secara amnya. Selain itu,peranan agensi yang bertanggungjawab perlu dalam meningkatkan kualiti papan tanda arah di negara kita memandangkan pentingnya tanda arah yang jelas di suatu tempat. Sama-samalah kita menjaga kemudahan bersama kerana papan tanda tunjuk arah adalah penting.

No comment »