Keunikan Royal Belum Khazanah Rimba Tertua

Kedamaian yang dirasakan tatkala berada di Hutan Belum-Temengor tidak tergambar dengan kata-kata. Hati yang gundah terasa tenang saat menikmati keindahan alam semula jadi yang menjadi santapan mata. Perjalanan bermula pada 27 April 2011- Rabu pada pukul 8.30 pagi dengan semua peserta iaitu seramai Sembilan (9) orang kakitangan daripada Bahagian Perancangan Wilayah telah berkumpul di pejabat iaitu di Wisma Tun Sambathan untuk bertolak ke Grik, Perak.

Selepas empat jam perjalanan, kami tiba di Jeti Awam Pulau Banding dan terus menaiki bot untuk ke Belum Eco-Resort yang menjadi tempat penginapan kami. Aktiviti pertama yang dilakukan oleh peserta program pada sebelah petang ialah berkayak. Walaupun ada diantara peserta yang pertama kali mengendalikan kayak, namun kerana teruja dengan suasana tasik, mereka memberanikan diri untuk mencubanya. Pada sebelah malamnya, pihak penganjur telah menayangkan Dokumentari “Belum Temenggor Rainforest Diversity”. Dokumentari ini memaparkan mengenai hidupan flora dan fauna yang menghuni hutan dara ini. Hari kedua kami melihat keseluruhan Kompleks Hutan Belum-Temengor dari Menara Tinjau (Forest Tree Tower) yang terletak di Pulau Talikail. Walaupun jaraknya tidak jauh dari bot, keletihan tetap dirasai kerana trek yang dilalui agak curam dan mencabar keupayaan kami. Masa yang diambil untuk sampai ke puncak ialah lebih kurang 45 minit. kami dapat melihat Banjaran Titiwangsa serta Thailand disamping keseluruhan pulau-pulau kecil dan pemandangan sekitar Hutan Belum-Temengor.

Penjelajahan seterusnya ialah menjejak bunga terbesar di dunia iaitu bunga Rafflesia di Pulau Besar. Matlamat kami untuk melihat bunga pakma terbesar nyata tidak berhasil dan mengundang sedikit kekecewaan apabila bunga yang bahasa saintifiknya dikenali sebagai Rafflesia tiada yang berkembang dan hanya tinggal kudup-kudup layu.

Selama lebih kurang 20 minit mengharungi perjalanan menaiki bot dari Pulau Besar, mata amat terpukau dengan pemandangan dan kehijauan alam di Kampung Orang Asli Chuweh. Kemudiannya, menuju ke air terjun Sungai Enam Base Camp Hutan Belum-Temengor untuk merasai kesejukan air terjunnya yang mencengkam hingga ke tulang. Pada sebelah malamnya, pihak penganjur telah menayangkan Dokumentari “Bunga Rafflesia”. Dokumentari ini memaparkan mengenai pelbagai spesis bunga ini yang merupakan antara bunga unik di dunia. Hari Ketiga ialah merupakan hari terakhir kami berada di sini. Setelah selesai bersarapan pagi, kami telah menaiki bot untuk ke Jeti Awam Pulau Banding untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Kesimpulannya kehijauan alam semula jadi dan hidupan liar yang menghuni Hutan Belum-Temengor pasti akan pupus satu hari nanti jika ia tidak dipelihara sepenuhnya. Benarlah kata pujangga bahawa manusia dan alam mempunyai hubungan yang sangat rapat. Kedua-dua entiti ini sememangnya tidak dapat dipisahkan. Jiika terpisah, rosaklah manusia, musnahlah alam.

INFO

Ø Hutan Belum yang diwartakan sebagai Taman Negeri Perak telah diisytihar semula sebagai `The Royal Belum’ oleh DYMM Sultan Azlan Shah, Sultan Perak pada bulan 31 Julai 2003.

Ø Nama Hutan Belum diambil daripada nama asal perkampungan Melayu iaitu Kampung Belum Lama meliputi enam perkampungan kecil.

Ø Hutan Belum dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Hutan Belum (lower) dan Hutan Simpan Belum (upper). Pengunjung hanya boleh meneroka Hutan Belum yang tidak diwartakan sebagai hutan simpan, manakala Hutan Simpan Belum perlu mendapatkan permit pihak berkuasa.

Ø Kompleks Hutan Belum-Temengor berusia 130 juta tahun merupakan hutan tertua di dunia.

Ø Menjadi kawasan tadahan hujan utama bagi Semenanjung Malaysia.

Ø Kompleks Hutan Belum-Temengor merangkumi Taman Negeri Royal Belum (117,500 hektar), Hutan Simpan Grik (34,995 hektar) dan Hutan Temengor (147,505) hektar).

Ø Keluasan Kompleks Hutan Belum-Temengor hampir empat kali ganda saiz Singapura, kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna.

Ø Dihuni semua 10 spesies burung enggang yang ada di Malaysia dan melindungi lebih 274 spesies burung.

Ø Dianggarkan, lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 ikan hidup di sini.

  del.icio.us this!

1 Response so far »

  1. 1

    Mastura Zuber said,

    July 18, 2011 @ 5:21 pm

    BELUM lagi sampai ke sana. Thnx for the info! Any pix to share?

Comment RSS · TrackBack URI

Say your words

You must be logged in to post a comment.